Bila travel bersama keluarga dan melalui kawasan Lekir, antara masjid yang selalu aku singgah ialah Masjid Haji ‘Isa di Batu 8 Lekir, Perak.
Masjid ni memang sehala dengan perjalanan kami. Bila tiba waktu untuk berhenti solat, inilah antara tempat yang aku suka singgah bersama isteri dan anak-anak.
Parking Luas, Ruang Solat Selesa
Antara perkara yang aku suka ialah kawasan parking yang sangat luas dan selesa. Bila bawa keluarga, kemudahan macam ni memang membantu.
Ruang solatnya pula cantik dan bersih. Tenang rasanya bila dapat menunaikan solat di sini.
Sepanjang persinggahan kami, tandas dan kawasan masjid juga terjaga. Terima kasih kepada mereka yang menguruskan kebersihan dan kemudahan masjid untuk kegunaan jemaah serta musafir.
Peluang Mendidik Anak-anak Ketika Travel
Setiap kali berjalan bersama keluarga, aku cuba ambil peluang untuk mendidik anak-anak bahawa solat tetap wajib dijaga walaupun kita sedang travel.
Dalam perjalanan, ada banyak perkara yang kita kejar. Nak sampai destinasi, nak makan, nak ikut jadual. Tp urusan solat pun perlu dimasukkan dalam perancangan.
Pada masa yang sama, anak-anak dapat mempraktikkan ilmu tentang solat jamak dan qasar apabila memenuhi syaratnya. Apa yang dipelajari boleh mereka fahami melalui pengalaman sebenar bersama keluarga.
Aku berharap kebiasaan singgah solat ini akan mereka bawa sampai dewasa nanti.
Sedikit Latar Belakang Masjid
Menurut portal masjid JAKIM, Masjid Haji ‘Isa mula dibina pada tahun 2015 dan siap pada 2017 kerana masjid terdahulu, Masjid Ar-Rahmaniah, agak kecil. Portal e-Masjid Perak pula merekodkan status tanahnya sebagai tanah wakaf.
Di sebalik keselesaan yang kami nikmati ketika singgah, tentu ada usaha dan sumbangan ramai pihak. Semoga Allah membalas jasa mereka yang menyumbang, menguruskan dan mengimarahkan masjid ini.
Insya-Allah, selepas ini aku akan kongsikan lagi masjid-masjid yang biasa kami singgah ketika travel. Semoga catatan pengalaman ini bermanfaat untuk keluarga lain yang melalui laluan yang sama.
Rujukan dan Maklumat Lanjut
Maklumat latar belakang masjid dirujuk daripada:
- Portal e-Masjid Perak — Profil Masjid Haji Isa: lokasi, status tanah wakaf dan sejarah masjid.
- Portal Sistem Maklumat Masjid JAKIM — Masjid Haji ‘Isa: maklumat pembinaan dan latar belakang masjid.
Perkongsian tentang parking, ruang solat dan kebersihan pula berdasarkan pengalaman peribadi ketika singgah bersama keluarga.




Ruang Komen
Pernah alami perkara yang sama? Kongsi cerita awak.
Komen baharu disemak sebelum dipaparkan. Jaga privasi diri dan keluarga ketika berkongsi.
Baca Privacy Policy untuk maklumat penggunaan data komen.